
WELLIE
MIRI: Kerajaan persekutuan wajar membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bagi mengembalikan kedudukan kedua-dua wilayah sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penasihat Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) Wellie Henry Majang berkata, pewartaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2022 merupakan satu pencapaian bersejarah, namun masih belum membawa makna sebenar sekiranya tidak disusuli dengan pindaan dan pelaksanaan undang-undang susulan yang konkrit.
Menurunya, buat pertama kali MA63 diiktiraf secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membolehkan kerajaan persekutuan merujuk semula secara terperinci kepada janji-janji asal yang dimeterai melalui Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Pengiktirafan ini tidak boleh bersifat simbolik semata-mata. Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara mesti diterjemahkan melalui struktur kuasa Parlimen, khususnya pemulihan nisbah satu pertiga kerusi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Wellie menegaskan, sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen tambahan perlu diwujudkan bagi Sabah dan Sarawak untuk mengembalikan keseimbangan perwakilan seperti yang pernah dipersetujui sebelum Singapura keluar dari Malaysia.
Katanya, tanpa pemulihan nisbah satu pertiga tersebut, sebarang pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga boleh diluluskan tanpa mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak, sekali gus menjejaskan semangat asal pembentukan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan wilayah Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan mestilah disertai dengan pembahagian kuasa yang lebih adil serta peruntukan pembangunan yang seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Wellie merujuk titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada 2026 yang menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi MA63.
“Titah Tuanku adalah peringatan jelas bahawa Malaysia dibina atas asas perkongsian antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, bukannya hubungan negeri dan pusat semata-mata,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan persekutuan agar tidak lagi melengahkan usaha membentangkan RUU penambahan kerusi Parlimen pada sidang Dewan Rakyat kali ini sebagai bukti komitmen terhadap MA63.
Menurutnya, penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bukan retorik politik, sebaliknya satu keperluan mendesak bagi mengembalikan hak yang telah terhakis sejak sekian lama.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam landskap politik nasional, sebaliknya berperanan sebagai penentu kestabilan politik negara, khususnya melalui kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Malaysia hari ini memerlukan keseimbangan baharu antara wilayah Borneo dan Semenanjung untuk menjamin kestabilan politik dan kemajuan negara secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, tuntutan Sarawak bukan bertujuan merampas hak mana-mana pihak, sebaliknya untuk menuntut semula hak yang telah dipersetujui dan dimaktubkan sejak 1963.
“Tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan wujud. MA63 adalah asas negara ini dan hak tersebut wajib dikembalikan,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo
|