
TIBA: Tun Musa, isteri dan delagasi disambut meriah oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir dan pelajar Sabah.
KAHERAH: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan pembangunan fizikal sahaja tanpa pencerahan akal budi akan menjadikan sesebuah negeri rapuh dan kosong nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, pembangunan modal insan melalui pendidikan mesti menjadi pelaburan terbesar kerajaan Sabah bagi melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak dan bertamadun.
“Sabah tidak mahu hanya gah dengan bangunan dan projek besar, tetapi rakyatnya kosong jiwa dan moralnya. Pendidikan mesti menjadi teras utama untuk memajukan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah Bersama Pelajar Sabah di Mesir dan Timur Tengah, di sini, Ahad.
Musa berkata, pelajar Sabah di Timur Tengah bukan sahaja menuntut ilmu akademik dan profesional, malah turut mempelajari erti kehidupan, ketabahan serta nilai ketamadunan yang wajar dibawa pulang ke tanah air.
“Saya mahu anak-anak Sabah menjadi jambatan intelektual yang mampu menterjemah ilmu untuk kesejahteraan rakyat, selain mengekalkan kesederhanaan (wasatiyyah) dalam kehidupan.
“Jangan biarkan pemikiran sempit atau ekstremisme merosakkan perpaduan negeri Sabah yang unik dengan kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.
SALAM: Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar ketika menyambut Tun Musa berserta rombongan.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya memelihara integriti ilmu dan tidak hanya mengejar segulung ijazah, sebaliknya menuntut ilmu dengan keikhlasan demi keberkatan dan manfaat masyarakat.
“Walau fasih berbahasa Arab atau Inggeris, jati diri sebagai anak Sabah mesti kekal utuh, dengan sikap merendah diri, menghormati orang tua dan setia kepada agama serta tanah air,” katanya.
Menurutnya, lawatan ke Mesir kali ini merupakan pertemuan ketiganya bersama pelajar Sabah di rantau berkenaan selepas memainkan peranan penting dalam pembelian Wisma Yayasan Sabah Kaherah pada 1997 dan asrama Yayasan Sabah di Iskandariah pada 2010.
“Apabila ilmu sudah penuh di dada, pulanglah ke pangkuan Negeri di Bawah Bayu untuk menabur bakti. Sabah merindui sumbangan anak-anak semua,” katanya.
SUMBANGAN: Tun Musa bergambar bersama pelajar Sabah selepas menyampaikan sumbangan.
Terdahulu, Tun Musa tiba dengan selamat di Kaherah pada Sabtu bagi lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir bersama isteri, Toh Puan Faridah Haji Tussin dan delegasi.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian serta pegawai Kedutaan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
Lawatan rasmi itu diadakan bersempena Program Mahabbah bersama pelajar Sabah di Mesir, selain perasmian Dewan Al-Imam Al-Tayeb di International Al-Azhar Al-Sharif Academy, sekali gus memperkukuh hubungan dan kerjasama pendidikan antara Sabah dan institusi di Mesir.
|