Rangka manusia belakang rumah penduduk disahkan lelaki hilang lebih setahun
Fazli Ahmad[email protected]

GAMBAR hiasan
Bera: Rangka manusia yang ditemui di Felda Bukit Mendi, di sini, 2 Mei lalu disahkan lelaki berusia 49 tahun yang dilapor hilang lebih setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pengesahan itu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Katanya, identiti rangka itu dikenal pasti Hanafi Mohamad yang dilaporkan hilang pada 3 Mei 2024.
"Berdasarkan analisis diperoleh, rangka itu dikenal pasti sebagai milik Hanafi dan keputusan ujian DNA menunjukkan padanan 99.9 peratus dengan sampel darah waris mangsa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Zulkiflee berkata, setakat ini siasatan mendapati kematian lelaki itu tiada unsur jenayah dan keluarga sudah menuntut rangka untuk pengebumian.
Pada 2 Mei lalu, seorang peneroka berusia 51 tahun menemui rangka manusia berselerak bersama sehelai baju, seluar, jaket dan telefon bimbit di kawasan paya, kira-kira 100 meter dari rumah penduduk Felda Bukit Mendi.
Disiarkan pada: Julai 14, 2025 @ 7:19pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/07/1240770/rangka-manusia-belakang-rumah-penduduk-disahkan-lelaki-hilang-lebih-setahun
|